Hari ni aku ke Batu Pahat, ada kerja sikit nak buat. Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku memikirkan highway PLUS yang mahal tolnya so aku ikut la laluan lama. Memandangkan perut aku dah lapar dan mata mula mengantuk, aku stop la kat satu pekan di Sedenak untuk minum petang. Sebaik memesan makanan, seorang budak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan aku.
"Akak nak beli kuih ?" Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya. "Tak apalah dik, akak dah pesan makanan" jawab aku ringkas sambil tersenyum. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, aku pun terus makan macam biasa. Lebih kurang 15 minit kemudian aku nampak budak lelaki tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja. Kali ni dia datang lagi kat meja aku."Akak dah makan, tak nak beli kuih saya ?" katanya selamba. "Akak baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni" aku jawab ringkas.
Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya "Tak nak beli kuih saya bang..pak cik..kakak atau makcik." Molek dan baik budi bahasanya ! Kalau budak budak lain jangan harap ada perangai macam ni. Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan.
Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati aku melihat betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang dia temui tidak mau membeli kuihnya. Selepas membayar harga makanan dan minuman yang aku makan tadi, aku terus ke kereta aku. Budak itu aku lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Aku buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat aku nak hidupkan enjin kereta aku, budak tadi berdiri di tepi kereta sambil tersenyum. Aku turunkan cermin, membalas senyumannya. "Akak dah kenyang, tapi mungkin akak perlukan kuih saya untuk adik-adik akak, ibu atau ayah akak" katanya dengan petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.
Aku tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terbukak pulak perasaan kesian aku. Lantas aku buka wallet aku dan menghulurkan sekeping not merah RM 10. Aku hulurkan padanya. "Ambil ni dik ! Akak sedekah, tak payah akak beli kuih tu" kataku ikhlas kerana perasaan kesian. Budak tu mengambil wang yang aku bagi, sambil mengucapkan terima kasih dia terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Gembira hati aku sebab dapat membantunya.
Setelah enjin kereta aku hidupkan, aku mengundur. Alangkah terperanjatnya aku melihat budak itu menghulurkan pula RM 10 yang aku beri itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya. Terkejut aku, lantas memberhentikan semula kereta, dan memanggil budak tu balik. "Kenapa kak, nak beli kuih ke ?" tanyanya. "Kenapa adik berikan duit akak tadi pada pengemis tu ? Duit tu akak bagi adik !" aku tak jawab pun soalan dia tadi "Kak saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat kak !" katanya dengan petah sekali.
Aku sebak & rasa macam nak menangis aku bila dia cakap macam tu. Bayangkan budak sekecik tu mampu membuatkan aku tersentap, sekali gus kagum dengan pegangan hidup budak itu. Tanpa banyak soal aku terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu. "Akak nak beli semua ke ?" dia bertanya dan aku mengangguk. Lidah aku dah kelu nak berkata lagi. "RM 20 saja kak ! Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, aku hulurkan RM 20. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Aku perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke JB, baru aku terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim ke budak ni ? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya ? Terus terang aku katakan, aku beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan. Sesungguhnya aku kagum dengan sikap budak itu.
Dia menyedarkan aku, usaha itu lebih penting daripada meminta minta. Tanpa usaha, siapa kita sebenarnya. renung renungkan !
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment